Sekian lama merancang, namun entah berapakali perancangan saya tak menjadi.
Saya cuba memujuk hati sendiri.
"Allah belum menjemputku menjadi tamuNya barangkali"
Sembang pagi bersama kakak semalam tiba-tiba membuat hati saya terpujuk.
"Pergilah bulan puasa nanti. Berpuasa di sana."
Allah..Izinkanlah ya Allah untuk aku bertamu di rumahMu..Hati ini terlalu rindu.
Teringat saya akan kata-kata seorang Ustazah, "ketika hati kamu rindukan Mekah, tanyalah apa yang kamu rindukan. Adakah kamu rindukan Kaabah, Raudhah dan apa saja suasana disana atau kamu rindukan Allah? Seandainya rindukan Allah, Allah akan sentiasa bersama tak kira di mana pun kamu"
Benar, Allah sentiasa dekat dengan hambaNya.
Namun kerinduan ini bukan hanya sekadar merindui tanah suci yang penuh barakah itu. Kerinduan ini adalah kerinduan seorang hamba yang mahu mensucikan hati dan jiwanya agar sentiasa menjadikan Redha Allah itu kemuncak impiannya.
Aku rindu menjadi tetamuMu
ku inginkan jiwaku berjalan terus kearahMu
andai jiwaku diam, diamnya biarlah tetap menyedariMu
agar jasadku terus kuat untuk jatuh dan sujud padaMu
Aku rindu menjadi tetamuMu
bukanlah Safa dan Marwah yang dikejar
dua bukit itu hanya sekadar bukit
tika Siti Hajar mengharapkan selain dari Allah,
maka dia tertipu dengan bayangan air
yang mengalir antara dua bukit itu
dan izinkanlah aku menyentuh ibrahnya
tika kesedaran datang,
dia benar-benar melepaskan segala harap kepada yang lain
dan berharap hanya padaMu
dan akhirnya,
bukanlah di Safa dan Marwah air itu
di kaki Nabi Ismail jugalah terpancul zam-zam yang tak pernah henti mengalir
seperti tak hentinya rahmat dan nikmat yang Kau kurniakan
menjadikanMu tempat bergantung harap
bagi setiap hamba
Aku rindu menjadi tetamuMu
bukanlah sekadar Kaabah itu mahu kutawafkan
lebih dari itu
jasad ini mahu kuperjalankan
dengan menyedariMu dalam setiap langkah
dalam setiap nafas dan lafaz
Aku rindu menjadi tetamuMu
agar dapat aku melepaskan rindu keduaku
pada sisi Muhammad kekasihMu
Allah..
sungguh aku sedang rindu
sampaikanlah jasad ini Ya Allah
kepada Haramain
Sampaikanlah jiwa ini Ya Allah
padaMu,
Pemilik jiwa dan jasad ini.
Assalamualaikum..
ReplyDeletedikala waktu petang ini.. sedang sy berehat, hati dan ingatan secara tiba-tiba mengingatkan tanah suci mekah.. berlinang air mata ini.. rasa rindu itu membuak2 datang menggamit.. terus saya search gambar2 kaabah dan sebagainya sebagai pengubat rindu..