Friday, December 30, 2011

2 perjalanan 2 emosi.

Perjalanan dari Kemaman ke Kuala Lumpur semalam penuh emosi. Berbeza jika saya bandingkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampung saya beberapa hari lepas. Kalau Sabtu lepas permusafiran saya terisi dek kerana keramahan teman sebelah di dalam bas. Biarpun perkenalan singkat perkenalan kami, sepanjang perjalanan teman yang saya panggil 'kak' itu tak jemu bercerita dan berkongsi ilmu. Dan itulah kali pertama saya tidak tidak terlena bila menaiki bas. Biasanya setelah sejam perjalanan mata saya tentu mudah saja terpejam. Alhamdulillah, dek kerana setiap yang dituturkan 'kak sa' itu adalah ilmu, saya jadi semangat.:)
Berbeza dengan perjalanan semalam. 'Seat' di sebelah saya kosong. Ruang penumpang di tingkat atas bas Transnasional kelihatan agak lengang. Kalau hujung minggu atau cuti-cuti umum, biasanya agak penuh dengan penumpang. Bagus juga saya fikir bila seat sebelah tidak bertuan, lebih selesa bagi saya yang sebenarnya saat itu sedang letih dek kerana tidak cukup tidur malam sebelumnya. Bas bergerak. Saya betulkan 'seat' untuk lebih selesa. Tiba-tiba terdengar suara bayi menangis di belakang. Saya mengintai di ruang antara 'seat' yang saya duduki. Baru saya perasan di belakang saya ada seorang ibu dengan 2 anak. Yang seorang saya agak mungkin berusia 5 atau 6 tahun. Dan si 'baby' comel itu pula mungkin baru berusia 8 bulan. Di hati saya terdetik, bukan senang nak bawa anak-anak kecil naik bas, lagi-lagi kalau perjalanan yang memakan masa berjam-jam. Saya faham karenah anak-anak kecil. Mempunyai 10 orang anak buah memberi peluang saya memerhati tabiat dan kebiasaan kanak-kanak. Di hati saya berharap moga Allah permudahkan ibu tersebut sepanjang perjalanan.
Belum pun sampai sejam perjalanan saya tersentak. Ibu di belakang saya menengking si abang. Disuruh 'duduk diam'. Saya andaikan diri saya berada di tempat ibu tersebut, mungkin kesabaran teruji bila si anak terlalu aktif. Ruang sempit ditambah pula ada anak kecil di pangku, 'kelincahan' anak yang lebih 'besar' mungkin menjadi gangguan. Saya cuba lelapkan mata. Hati saya bermonolog sendiri..mungkin si ibu penat,stress..biasa la tu..'
Selang beberapa ketika, hati saya jadi tidak sedap. Jiwa saya meronta. Si ibu tadi tidak henti-henti menyalahkan si abang yang mungkin baru mengenal ABC itu yang menyebabka si bayi menangis. Saya menjenguk ke belakang, ' Kak, sebelah saya ni kosong,kalau anak akak nak duduk, mai la..kesian akak takut tak selesa.' Saya cuba mencadangkan solusi memandangkan dari apa yang telinga saya dengar, semua leteran2 kasar yang dilemparkan terhadap si anak disebabkan ruang yang sempit. Tambahan pula anaknya agak 'tidak duduk diam'.
Pelawaan saya dipandang sepi tanpa sebarang respon walaupun dengan seulas senyum. Saya tanya diri sendiri.."aku salah ayat ke?"..
Saya cuba sedapkan hati dengan bersangka baik. 'Dia tak dengar kot,atau dia tak nak anaknya duduk dengan 'stranger'. Perkara biasa kan...'dont talk to stranger' selalu di ajarkan kepada kanak2.(masih cuba bersangka baik walaupun tak mampu)
Saya kembali duduk. Sepanjang beberapa jam perjalanan, si ibu tersebut berleter, dan sering juga menengking. Saya kira hampir semua yang berada di ruang atas bas mendengar marah si ibu yang kelihatan masih muda itu. Saya pandang sekeliling. Penumpang2 di hadapan sekejap2 memandang ke arah mereka. Yang di sebelah kanan saya juga sama. Dan kemuncaknya bila si abang tiba2 termuntah, terdengar jeritan ibu yang penuh kemarahan. Emosi saya saat itu benar2 terganggu dengan ayat yang keluar dari mulut si ibu, "Ya Allah...kenapa la ada anak macam ni!!'
Saya menahan marah. Mungkin saya tiada hak untuk berasa marah kerana saya tidak ada kena mengena dengan mereka. Namun, naluri kemanusiaan saya yang mengerti bahawa anak adalah anugerah dan amanah dari Allah menjadikan perasaan saya sensitif. Saya mengintai kebelakang, si abang yang kelihatan tak bermaya dimarah. Tak puas dengan itu si ibu mencubit-cubit anaknya. Salah si anak kah bila dirinya mabuk perjalanan?Salah si anak kah bila tiba-tiba termuntah di dalam bas?
Saya cuba untuk bersabar.
Bas akhirnya berhenti seketika di hentian Temerloh. Saya terus berada di dalam bas, tidak ada keperluan untuk turun. Si ibu tadi awal-awal lagi turun dari bas meninggalkan bayinya di pangku si abang. Saya memerhatikan mereka. Anak yang masih kecil itu menangis mencari ibu yang turun sebentar dari bas. Abangnya pula memujuk si adik. Saya senyum ke arah mereka. Aksi 'Cak-cak' saya agak berjaya bila si kecil berhenti menangis. Saya kasihankan si abang yang sepanjang perjalanan dimarah ditengking. Tanpa sedar ketika saya berusaha menghiburkan mereka, ibu mereka kembali. Senyum saya lemparkan. Balasannya cuma pandangan sinis. Tak apalah, bukan jadi masalah buat saya.
Bas kembali bergerak meneruskan perjalanan dan saya berterusan menahan emosi, ada saja yang tidak kena di 'seat' belakang . Saya cuba pekakkan telinga hingga akhirnya bas sampai di hentian putra.
Turun dari bas, saya hampiri 3 beranak tersebut yang turun lebih awal dari saya. Perlahan saya berbisik,
"Assalamualaikum akak, maaf ye..anak-anak ni amanah Allah, dalam usia mereka ni, masih perlukan didikan yang penuh kasih sayang,bukan berleter,maki hamun..bersyukurlah akak ada anak2 yang sihat dAn comel"..saya berlalu dengan senyuman. Sebelum melangkah saya sempat mengusap kepala anak lelakinya yang kecil itu.
Saya mungkin bukan seorang ibu.
Saya mungkin bukan pakar psikologi keluarga.
Tapi saya tahu, anak-anak sekecil itu tidak patut ditengking atau di caci maki dengan bahasa yang kasar.
Dan yang lebih tidak patut, bila tanpa sedar si ibu seakan tidak bersyukur dengan anugerah Allah...
Saat saya menulis ini, masih terngiang-ngiang suara garang si ibu menengking.."Ya Allah, kenapa lah ada anak macam ni!!!"



No comments:

Post a Comment